LOTTE meraikan kejayaannya di garisan penamat. FOTO AFP
LOTTE meraikan kejayaannya di garisan penamat. FOTO AFP
Reuters

Glasgow: Lotte Kopecky dari Belgium muncul juara di Kejohanan Dunia selepas melakukan serangan lewat untuk memenangi acara lebuhraya elit wanita di Glasgow, semalam.

Lotte, yang memenangi dua emas dalam acara trek, melakukan henjutan dari kelompok kecil pendahulu di pusingan terakhir untuk meraih kemenangan.

Cecilie Uttrup Ludwig dari Denmark pada mulanya berjaya menyaingi Lotte tetapi dia tidak dapat mengatasi kepantasan pelumba Belgium itu.

Lotte melepasi garisan penamat di perlumbaan sejauh 150 kilometer (km) itu sekali gus meraikan gelaran dunia pertamanya dalam acara lebuhraya.

Hatrik emas yang diraih Lotte daripada Kejohanan Dunia Glasgow termasuk kemenangannya dalam perlumbaan penyingkiran dan mata di Velodrom Chris Hoy di mana dia turut memenangi pingat gangsa dalam acara omnium.

"Tahun yang menakjubkan dan sukar. Saya tidak tahu apa yang membuatkan saya terus melakukannya.

"Saya juga tidak tahu apa yang saya fikirkan, tetapi ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Memenangi tiga pingat emas di sini sukar untuk diungkap dengan kata-kata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 9:19 AM