Acara Golf Amal 2023 itu berjaya menghimpunkan 95 pemain. FOTO Ihsan downsyndromemalaysia.com
Acara Golf Amal 2023 itu berjaya menghimpunkan 95 pemain. FOTO Ihsan downsyndromemalaysia.com
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sumbangan dana RM100,000 berjaya dikumpulkan bagi meningkatkan taraf kemudahan dan sumber pendidikan bagi golongan Sindrom Down.

Menerusi acara Golf Amal 2023 yang berlangsung di Bukit Jalil Golf and Country Resort anjuran Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) dan UKM Fairway Philanthropists (UFP) menyaksikan ia mencapai objektif penganjuran.

Menurut Presiden PSDM, Hanizan Hussin, dana berkenaan akan digunakan untuk menubuhkan Pusat Intervensi Awal baharu PSDM di Universiti Malaya dan juga menampung pelbagai perbelanjaan seperti naik taraf kemudahan dan sumber pendidikan.

"Acara Golf Amal 2023 telah mempamerkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat kita dan membawa kita selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan visi kita untuk masyarakat yang lebih inklusif.

"Melalui acara ini, kami bukan sahaja berjaya mengumpul dana yang besar tetapi juga berjaya mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang Sindrom Down, yang menyumbang kepada pembangunan holistik individu-individu istimewa ini," kata Hanizan.

Bagi Pengarah Projek UFP, Dr Gary Tok pula, pihaknya berpuas hati dengan sokongan yang diraih.

"Kami berbangga dengan sambutan yang diterima. Acara ini membuktikan potensi kerjasama dan inisiatif yang dipacu oleh komuniti.

"Bagi pihak pasukan pelajar MBA di UKM Graduate School of Business yang bertanggungjawab menganjurkan kejohanan amal ini, kami mengucapkan terima kasih atas peluang untuk menyumbang kepada perjuangan penting ini," kata Gary Tok.

Acara Golf Amal 2023 itu berjaya menghimpunkan 95 pemain.

Ia menerima tajaan daripada Harlow's & MGI Sdn Bhd (Penaja Emas); Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan; Pengerusi dan Penasihat D'Tandoor kepada PSDM, Datuk Abdul Malek Abdullah dan Les Copaque.

Sementara itu, PSDM adalah penaja bersama barangan bagi acara itu.

Pemain golf yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada individu dan kakitangan daripada pelbagai entiti termasuk Allo Technology Sdn Bhd dan Kelab Golf Rekreasi Tenaga Nasional (TNRGC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 9:10 PM