DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengakui akan sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan prestasi atlet negara dengan merencana perancangan menyertai kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Menurut presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim, KOM akan meneruskan perancangan mereka dengan menghantar atlet ke kejohanan-kejohanan yang diiktiraf dan tidak bergantung harap kepada tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.

"Sebelum temasya Sukan Sea, kita hantar atlet ke pertandingan yang kita biayai kerana dengan pendedahan seperti ini mereka dapat tingkatkan prestasi. Jadi, kita akan teruskan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan Negara 2022 semalam.

Ujar Shahidan, beliau tahu bahawa kerajaan tidak dapat membantu atlet untuk sertai semua pertandingan.

"Bagaimanapun kita akan cuba membantu mereka sertai kejohanan sukan yang diiktiraf dan tak termasuk senarai yang ditaja MSN.

"Saya percaya dengan kehadiran tajaan daripada sektor korporat mereka mampu membantu menghantar atlet-atlet negara ke pentas antarbangsa sekali gus mampu mengembalikan zaman kegemilangan olahraga.

"Dengan kehadiran penaja baharu kita boleh buat sedemikian. Oleh itu, saya harap perkara paling penting ketika ini beri peluang dan ruang kepada atlet kita kerana mereka masih muda dan mereka mampu berjaya satu hari nanti.

"Saya harap rakyat malaysia dan rakan-rakan di luar sana beri pandangan yang positif kepada atlet kita sebab yang paling penting mereka menampilkan aksi cukup baik sewaktu Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand," ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai pencapaian skuad olahraga di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand yang berakhir pada Ahad lalu, Shahidan percaya atlet-atlet muda negara sudah menunjukan peningkatan yang positif dan yakin mampu berjaya satu hari nanti.

"Kita kena ingat, bertanding di peringkat Asia bukan mudah kerana atlet yang bersaing di pentas Asia itu semua atlet yang cukup hebat dan mempunyai kekuatan fizikal yang cukup hebat.

"Tetapi atlet kita mampu melangkah ke pentas final dan itu bermakna mereka boleh pergi kehadapan. Jika diikutkan rekod jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dia mampu menamatkan saingan tempat kedua tetapi dia hanya dipisahkan sedikit sahaja," kata Shahidan.

Tambahnya, penentuan seterusnya nanti adalah di pentas Sukan Asia dan beliau yakin atlet negara mempunyai peluang terbaik menyinar di temasya berkenaan.

"Saya harap rakyat malaysia dan rakan-rakan luar sana bagi pandangan yang positif kepada atlet kita," katanya.

Ketika di Bangkok, skuad olaharaga negara, mengakhiri saingan dengan membawa pulang satu pingat gangsa menerusi jaguh lempar cakera lelaki, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 3:47 PM