BEBERAPA orang pelumba dikesan memaut pada kereta pasukan. FOTO Agensi
BEBERAPA orang pelumba dikesan memaut pada kereta pasukan. FOTO Agensi
Agensi

Sondrio: Seramai 31 pelumba perlumbaan Giro d'Italia bawah 23 tahun disingkirkan selepas dikesan 'menipu' pada peringkat keempat perlumbaan saingan berkenaan semalam.

Pihak penganjur mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila membatalkan penyertaan kesemua pelumba berkenaan selepas dikesan berpaut pada kenderaan pada peringkat pendakian di Passo dello Stelvio.

Menerusi rakaman penonton menunjukkan beberapa pelumba memegang kereta pasukan dan motosikal semasa ingin menamatkan perlumbaan.

Pelumba pasukan Groupama-FDJ, Noah Hobbs dari Britain antara pelumba yang hilang kelayakan untuk meneruskan perlumbaan itu.

Berikutan penilaian rakaman awal itu, 24 pelumba 'Baby Giro' dibatalkan penyertaan oleh penganjur perlumbaan tetapi jumlah itu kemudian meningkat kepada 31 pelumba.

Mereka yang turut menerima hukuman termasuk ketua pasukan Lotto-Dstny dan pemenang Paris-Roubaix, Tijl de Decker, dan Davide Persico dari Colpack-Ballan.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam satu kenyataan menyokong tindakan keras pihak penganjur perlumbaan.

"UCI memberi sokongan penuh kepada pihak penganjur dan mereka membuat keputusan yang tepat," kata UCI.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Berbasikal Itali, Cordiano Dagnoni menyelar tindakan pasukan yang dilihat membantu pelumba remaja melakukan penipuan.

"Saya kecewa dengan tingkah laku pengarah atau jurulatih sukan dalam kereta pasukan tersebut kerana mereka sepatutnya menjadi orang pertama yang mengajar anak muda cara menghormati peraturan. Tetapi sebaliknya berlaku," ujar Dagnoni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 1:13 PM