RUSDIANTO ketika beraksi dalam acara 50m kuak kupu-kupu. FOTO Bernama
RUSDIANTO ketika beraksi dalam acara 50m kuak kupu-kupu. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hari keenam temasya Sukan Para Asean (APG) di Phnom Penh Kemboja menyaksikan kolam renang sekali lagi menjadi lubuk emas kontinjen negara.

Sebanyak empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa diraih dari Pusat Akuatik Kompleks Sukan Morodok Techo.

Emas pertama dari kolam renang dihadiahkan Ethan Khoo dalam acara 200m gaya bebas lelaki (S14).

Kecemerlangan Ethan kemudiannya dituruti oleh Zy Lee Kher yang merekodkan rekod baru temasya selepas mencatatkan 3:32.57s dalam acara 200m rampaian lelaki (SM5).

Fraidden Dawan sekali lagi tidak menghampakan apabila menyumbang emas dalam acara 200m rampaian lelaki (SM10) manakala emas keempat dari kolam renang dihadiahkan oleh Abdul Halim Mohammad dalam acara 200m rampaian lelaki (SM8).

Acara powerlifting turut tidak ketinggalan sebagai penyumbang pingat apabila menghadiahkan dua emas menerusi Nicodemus Manggoi Moses yang mengungguli kategori 88 kilogram (kg) dalam kategori angkatan terbaik 205gg (best lift) dan kategori keseluruhan (595kg).

Sementara itu tiga pingat perak disumbangkan oleh Bryan Lau (200m gaya bebas lelaki S14), Rusdianto (50m kuak kupu-kupu lelaki dan 200m rampaian lelaki SM8).

Manakala gangsa disumbangkan oleh Fraidden (50m kuak kupu-kupu lelaki S10) dan bola keranjang kerusi roda.

Hingga setakat jam empat petang kontinjen negara sudah pun mengutip 39 emas, 33 perak dan 24 gangsa.

Jumlah berkenaan dijangka akan terus meningkat apabila saingan APG menutup tirai temasya Jumaat ini dengan kontinjen negara sudah pun melepasi sasaran 33 emas yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 4:34 PM