PASUKAN lelaki kebangsaan (kanan), beraksi dalam acara Obstacle Race berpasukan Sukan Sea Kemboja. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PASUKAN lelaki kebangsaan (kanan), beraksi dalam acara Obstacle Race berpasukan Sukan Sea Kemboja. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali


Phnom Penh: Skuad tempuh halangan negara sedia melakar kejutan pada aksi penentuan pingat emas dalam acara berganti-ganti lelaki apabila dijadual berdepan Filipina pada aksi final Sukan Sea di Kemboja, di sini, Ahad ini.

Kuartet negara yang dianggotai Mohd Redha Rozlan, Yoong Wei Theng, Nuur Hafis Said Alwi dan Ghalib Mohamad Azimi berpeluang menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara pada temasya itu.

Biarpun pada pusingan kelayakan menyaksikan pasukan negara agak ketinggalan, namun kuartet negara itu bangkit pada larian terakhir untuk mencatat masa terpantas 25.62 saat (s) yang berlangsung di tempat letak kereta Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini, semalam.

Ia sekali gus melayakkan skuad negara ke final untuk menempah pertemuan dengan Filipina yang merekodkan masa kedua terpantas 26.19s.

Jelas Redha atau lebih popular dengan panggilan Mat Redho, rakan sepasukannya berjaya mengekalkan fokus pada larian terakhir yang dianggap misi hidup mati.

Katanya lagi, misi utama ketika ini adalah untuk memenangi pingat emas di final nanti.

"Pusingan pertama sebenarnya tidak mempunyai isu besar, kami perlu mengakui kesilapan kami dalam bahagian teknikal. Saya memberitahu rakan sepasukan saya bahawa ia ok kami mempunyai satu peluang dan kami perlu melakukan yang terbaik.

"Filipina sebuah pasukan yang kuat dalam sukan berhalangan ini, tapi sebenarnya kami menyasarkan untuk bertemu Indonesia di final," katanya.

Ujarnya lagi, dia mengingatkan rakan sepasukan agar fokus dan tidak memandang mudah tentangan Filipina di mana, lawannya itu sudah biasa dengan laluan halangan di final nanti kerana mempunyai set halangan yang sama di pusat latihan mereka.

"Filipina memiliki set laluan berhalangan dan ia digunakan dalam Sukan Sea ini, pasti mereka mempunyai kelebihan.

"Kami tidak mempunyai set itu di Malaysia dan kami berlatih berdasarkan simulasi," katanya.

Sementara itu, pasukan wanita Malaysia akan turun menentang Kemboja pada Ahad ini untuk perebutan pingat gangsa.

Gandingan wanita negara iaitu Ong Sher Lyn, Tan Sui Lin Renee, Wan Atirah Hidayah Ahmad Fuzli, dan Yip Hui Theng mencatat masa 3:12.98 untuk menduduki tempat ketiga terpantas pada pusingan kelayakan.

Pasukan wanita Indonesia akan menentang Filipina dalam perlawanan akhir pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 2:37 PM