PASUKAN lelaki lari berhalangan negara ketika final menentang Filipina. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PASUKAN lelaki lari berhalangan negara ketika final menentang Filipina. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI


Kuala Lumpur: Hasrat pasukan lari berhalangan lelaki mencipta sejarah dengan menyumbang pingat emas di temasya Sukan sea Kemboja tidak kesampaian apabila akur tumpas kepada Filipina pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.

Pasukan negara yang diwakili Ghalib Mohamad Azimi, Mohd Redha Rozlan, Nuur Hafis Said Alwi and Yoong Wei Theng merekodkan catatan masa 25.15 saat (s) untuk berpuas hati dengan perak.

Pasukan Filipina yang menewaskan Malaysia memenangi perlumbaan itu dengan catatan masa 24.47s manakala Indonesia dan Laos berkongsi pingat gangsa selepas kedua-dua pasukan ini menamatkan saingan dengan 31.27s and 34.11s pada perlawanan penentuan pingat gangsa.

Bagi kapten pasukan negara, Mohd Redha berkata, mereka sudah memberikan aksi yang terbaik selepas mengorbankan masa dan tenaga untuk memenangi pingat emas.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan, kami telah bekerja keras, malah berlatih semasa puasa selama tiga minggu di Manila dan kemudian datang kira-kira seminggu lebih awal ke sini untuk membuat persiapan...Raya (Aidilfitri) hanyalah perayaan kecil bagi kami.

"Untuk perlumbaan hari ini, saya gembira kerana kami telah memberikan segala-galanya tetapi terdapat sedikit halangan. Bagaimanapun kami akur dengan keputusan ini tidak dan mungkin memerlukan satu lagi Sukan Sea untuk kami perbaiki bagi mendapatkan emas," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Redha berkata sokongan lebih tersusun daripada pihak luar untuk menyediakan satu set halangan pertandingan yang lengkap untuk latihan boleh membantu pasukan itu meningkatkan prestasi mereka pada masa hadapan.

Atlet berusia 35 tahun itu berkata, dia optimis Malaysia mampu memenangi emas pertama dalam sukan itu pada edisi Sukan Sea akan datang jika mereka mendapat bantuan berkenaan.

"Kami kekurangan kemudahan latihan, kami hanya berlatih di gim di mana 60 peratus simulasi adalah sama seperti di sini. Jadi kami berharap mana-mana pihak atau KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sendiri akan membantu menyediakan satu set halangan yang serupa dengan apa yang Filipina ada," ujarnya lagi.

Untuk rekod, ini penampilan ketiga Mohd Redha di Sukan Sea selepas memenangi perak dalam acara panjat dinding pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia sebelum memenangi tiga perak dalam perlumbaan berhalangan pada Sukan Sea Filipina 2019.

Dalam perkembangan lain, pasukan wanita negara dalam acara lari berganti-ganti berjaya memperoleh pingat gangsa bersama Kemboja manakala emas dimenangi oleh Filipina dan perak oleh Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:49 PM