WAN Athira menamatkan saingan dengan catatan masa 41.724s. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
WAN Athira menamatkan saingan dengan catatan masa 41.724s. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Phnom Penh: Perasaan atlet lari berhalangan negara, Wan Athira Hidayah Ahmad Fuzli bercampur-baur malah mengakui terkejut selepas berjaya meraih pingat pertama negara di temasya Sukan Sea di Kemboja selepas meraih pingat gangsa.

Dia yang pada awalnya tewas kepada atlet Indonesia, Anggun Yolanda dalam acara 100 meter (m) wanita pada penentuan tempat ketiga dan keempat itu, terkejut apabila turut dihadiahkan pingat gangsa untuk berkongsi dengan Anggun.

Wan Athira sekadar menamatkan saingan dengan catatan masa 41.724 saat (s) berbanding lawannya yang mengakhiri cabaran dengan rekod 39.598s.

Manakala pingat emas dimenangi atlet Filipina, Precious Cabuya dengan catatan 32.732s untuk mengatasi rakan senegara Kaizen Dela Cerna yang mencatatkan 35.552s.

Difahamkan tuan rumah memutuskan untuk menganugerahkan pingat gangsa kepada Wan Athira dan ia dianggap keputusan ganjil dan mengejut, sekali gus menjadikan dia sebagai pemenang pingat pertama untuk kontinjen Malaysia untuk edisi kali ini.

"Tiada komen mengenai itu (keputusan tuan rumah), mereka memutuskan untuk berkongsi pingat gangsa...perasaan bercampur baur daripada saya, saya tidak percaya selepas saya kalah dalam pusingan pingat gangsa.

"Saya rasa ia pingat gangsa pertama untuk Malaysia. Perasaan saya bercampur baur tetapi saya tetap bersyukur dengan pingat itu," katanya.

Jejak sama diikuti seorang lagi atlet lari berhalangan lelaki negara apabila William Yoong turut memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki yang berlangsung di Parkir Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini.

William mencatat masa 28.23s untuk mengetepikan wakil tuan rumah, Ol Saoheng sementara emas diraih atlet Filipina, Mark Rodelas dengan masa terpantas 25.19s di hadapan rakan senegara Kevin Pascua yang mencatat 26.814.

"Saya rasa lawan saya lebih gementar kerana dia mewakili negara tuan rumah, apabila dia terjatuh dalam halangan kedua.

"Saya terkejut, saya memberitahu diri saya untuk tidak berfikir dan terus fokus untuk menamatkan perlumbaan," kata William.

Dia selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi memburu emas bersama Mohd Redha Rozlan, Nur Hafis Said Alwi, dan Ghalib Mohamad Azimi dalam saingan final berganti-ganti lelaki esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 2:29 PM