FURY (kiri) bertarung dengan  Jake Paul di  Diriyah, Riyadh pada Isnin lalu.
FURY (kiri) bertarung dengan Jake Paul di Diriyah, Riyadh pada Isnin lalu.
Agensi

London: Jake Paul mengakui emosinya terjejas selepas tewas di tangan Tommy Fury pada pertarungan Ahad lalu.

'The Problem Child' tewas menerusi kiraan juri 76-73, 76-73, 74-75 kepada musuh ketat sekian lamanya itu di Arab Saudi.

Paul, 26, kini bertekad mahu menjadikan kekalahan perit itu sebagai pengajaran dalam usaha menjadi petinju lebih berjaya.

Selepas dilaporkan meraih £24.7 juta (RM132.72 juta) walaupun tewas pertarungan itu, Paul dalam ciapannya di Twitter berkata: "Bisnes dalam sukan ini adalah kejayaan yang besar.

"Tidak bermakna emosi saya tak terjejas dengan kekalahan itu tetapi saya tidak akan hanya duduk di sini dan berdiam diri.

"Saya akan menjadikan kekecewaan ini sebagai pembakar semangat dan mahu pastikan kekalahan tidak berulang."

Paul kekal tenang dan mula membuat perancangan selepas tewas di tangan Fury.

Personaliti YouTube itu dalam media sosialnya berkata: "Jangan adili kemenangan saya tetapi adili kekalahan saya. Tahniah Tommy, pasukan dan keluarganya.

"Terima kasih kepada semua penonton yang menyaksikan pertarungan kami. Terima kasih juga Arab Saudi, saya akan kembali." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:48 PM