MERLIER (kiri) meraikan kejayaan dengan memberi reaksi  sedang menggendong bayi. FOTO EPA
MERLIER (kiri) meraikan kejayaan dengan memberi reaksi sedang menggendong bayi. FOTO EPA
AFP

Muscat: Pelumba berbasikal Belgium, Tim Merlier menghadiahkan kemenangan peringkat pembukaan Tour Oman buat bayinya yang baru lahir.

"Ini adalah pecutan sempurna, jadi saya gembira, malah lebih gembira apabila saya sudah menjadi seorang bapa dua minggu lalu dan sekarang saya boleh meraikannya bersama kemenangan," kata pelumba berusia 30 tahun itu dalam penampilan sulung bersama pasukan baru, Soudal-Quick Step.

Pelumba veteran Britain, Mark Cavendish juga melakukan penampilan pertama bersama Astana namun menduduki tempat ke-21, apabila terperangkap dalam kumpulan besar dan gagal terbabit dalam pecutan terakhir.

David Dekker dari Arkea Samsic di tempat kedua dan pelumba Perancis, Axel Zingle dari Cofidis meraih kedudukan ketiga apabila bersaing di pecutan panjang menuju ke garisan penamat.

Merlier, yang juga juara peringkat di Tour de France 2021, merangkul kemenangan dengan bersaing di pecutan terakhir sepanjang 200 meter (m) selepas melalui perlumbaan sejauh 147 kilometer (km) dari Al Rustaq Fort ke Muscat.

"Dalam pecutan terakhir, saya keluar terlalu awal, tetapi saya mempunyai apa yang diperlukan untuk mengekalkan kelajuan, dan ini memberikan saya banyak keyakinan untuk aksi seterusnya," kata Merlier, yang merangkul kemenangan ke-24 sepanjang kariernya.

Peringkat kedua membabitkan pendakian dengan kecerunan 2km dalam perlumbaan sejauh 174km dari Muscat ke Quarayyat, manakala tiga peringkat lagi semuanya berakhir dengan pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 1:18 PM