TANGKAP layar daripada video yang tular menunjukkan polis sebelum menembak Walter Wallace,
TANGKAP layar daripada video yang tular menunjukkan polis sebelum menembak Walter Wallace,
AFP

Philadelphia: Perintah berkurung pada malam Rabu dikuatkuasakan di bandar ini akibat rusuhan yang tercetus akibat tindakan polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam, yang didakwa keluarganya mengalami masalah mental.

Pegawai rasmi kerajaan berkata, perintah berkenaan bermula jam 9 malam sehingga 6 pagi Khamis.

Terdahulu, ribuan orang menyertai tunjuk perasaan di bandar ini yang turut menyebabkan masalah kecurian dan mencetuskan keganasan.

Ia menyebabkan polis terpaksa menggunakan batang kayu dan perisai bagi melindungi diri daripada batu dan objek lain yang dibaling perusuh.

Kebanyakan daripada peserta demonstrasi menuduh polis sebagai rasis dan kejam.

Akibat rusuhan berkenaan, kira-kira 53 anggota polis cedera, termasuk seorang daripadanya patah kaki apabila dilanggar dengan trak, manakala 17 kenderaan polis turut rosak.

Dalam pada itu, seramai 170 orang juga ditahan susulan rusuhan berkenaan, dengan kebanyakan disyaki mencuri.

Pada kejadian Isnin lalu, anggota polis ke sebuah rumah selepas mendapat aduan berhubung kes gangguan domestik.

Apabila tiba, polis melihat seorang lelaki kulit hitam yang kemudian dikenal pasti sebagai Walter Wallace, 27, memegang pisau.

Satu rakaman video diambil menggunakan telefon bimbit yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki itu enggan membuang pisau yang dipegang ketika ibu lelaki itu cuba menenangkannya.

Wallace kemudian dilihat menolak ibunya sebelum berjalan ke arah anggota polis.

Polis memberi arahan supaya lelaki itu membuang pisau berkenaan sebelum melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian mangsa.

Bagaimanapun, ahli keluarganya mendakwa lelaki itu menghidap gangguan bipolar dan mempersoalkan mengapa anggota polis tidak menggunakan senjata renjat (taser gun) terhadap Walllace.

Kejadian rusuhan ini adalah terbaharu selepas tunjuk perasaan besar-besaran di Amerika Syarikat bagi membantah kematian lelaki kulit hitam, George Floyd, di Minnesota, pada Mei, akibat keganasan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:30 AM