KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO FB MSN
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO FB MSN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jawatankuasa program Gold Paris Gold memberi jaminan akan memberi sokongan dan bantuan tanpa berbelah bahagi kepada atlet negara yang dilihat berpotensi untuk membutirkan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah, atlet yang berpotensi layak turut akan dibantu bagi mempersiapkan diri ke temasya berprestij itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, program dinamakan 'Gold Paris' itu adalah sebahagian daripada program Podium, tetapi pengkhususan kepada persiapan atlet negara menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu pada tahun hadapan.

"Kita pernah melakukan perkara sama, selagi kita melihat potensi mana-mana yang boleh menyumbang pingat, kita akan cuba untuk membantu mereka supaya pingat itu tidak terlepas daripada apa yang kita harapkan, sehabis baik kita akan cuba bantu.

"Semua orang akan mendapat bantuan dan mereka akan dapat lebih daripada apa yang mereka peroleh sekarang, pengkhususan kepada keperluan mereka sendiri, itu yang kita akan bincangkan," jelas Shapawi.

Bagaimanapun, Shapawi enggan menamakan atlet yang berada dalam senarai itu memandangkan kelayakan untuk kebanyakan sukan ke temasya itu baru sahaja bermula.

Perincian itu dijangka akan dimuktamadkan selepas Jawatankuasa Program 'Gold Paris' bersidang hujung bulan ini.

Untuk rekod, program 'Gold Paris' ini dikelaskan kepada dua kelompok atlet, iaitu yang mampu layak serta yang berpotensi menghadiahkan pingat emas.

Jawatankuasa program ini akan melihat barisan atlet dilihat sebagai prospek negara termasuklah atlet profesional yang tidak bernaung dengan badan sukan kebangsaan, contohnya badminton.

Antara kelebihan dinikmati bukan sahaja daripada sudut sains sukan dan perbelanjaan, malah program itu sedia membekalkan jurulatih terbaik dunia untuk mana-mana atlet yang berpotensi meraih pingat di temasya sukan itu nanti.

Ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan sebelum ini menerusi program Podium, atlet seperti Cheong Jun Hong dari sukan terjun diizinkan kembali mendapatkan sentuhan jurulatih berpengalaman, Yang Zhu Liang.

Selain itu, jaguh badminton para, Cheah Liek Hou diberikan latihan oleh bekas pemenang Piala Thomas 1992, Rashid Sidek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 8:22 PM