HALIM (kiri) pada sidang media bersama PSM sebelum ini. FOTO Owee Ah Chun
HALIM (kiri) pada sidang media bersama PSM sebelum ini. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) terkejut dengan pengumuman pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) dan menganggap tindakan itu masih belum sah kerana belum dilakukan dalam mesyuarat agung.

Menurut Setiausaha Agung Istaf, Datuk Halim Kader, pengumuman yang dilakukan presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman haruslah bersandarkan kepada perlembagaan Mastaf Fasal 45 (45.1, 45.2 dan 45.3).

"Fasal 45.1 Mastaf ini boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung yang khusus untuk tujuan ini dan dengan keputusan oleh 2/3 daripada ahli yang layak mengundi," kata Halim dalam satu surat yang dihantarkan kepada Suhaili.

Selasa lalu Mastaf yang disertai bersama empat negeri ahli mengumumkan perkara berkenaan yang dibuat secara lintas langsung oleh pihak Astro pada jam 8.00 malam.

"Fasal 45.2 sekiranya dibubarkan mengikut Fasal 45.1, maka segala hutang piutang yang sah hendaklah diselesaikan oleh Mastaf. Manakala bakinya sekiranya ada, hendaklah diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya.

"Fasal 45.3 pula keputusan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran berkenaan," kata Halim.

Beliau menyeru agar Mastaf mengambil tindakan segera mengadakan mesyuarat agung untuk membubarkan secara sah mengikut lunas perlembagaan badan induk berkenaan agar pihak Istaf dapat mengambil tindakan untuk melepaskan Mastaf dari ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Istaf.

"Istaf perlu mendapatkan satu salinan minit mesyuarat agung pembubaran Mastaf yang tercatat secara sahih di dalamnya bahawa pembubaran itu dipersetujui oleh 2/3 ahli gabungan yang berhak mengundi. Minit mesyuarat agung juga perlu ditandatangani oleh Presiden dan Setiausaha Agung serta individu yang bertindak sebagai pencatat minit mesyuarat," katanya.

Mastaf membuat keputusan mengejut Selasa lalu selepas mengadakan mesyuarat tergempar apabila membubarkan penubuhan mereka beberapa jam sebaik sahaja Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Keputusan itu dibuat apabila mereka mengadakan perbincangan dalam kalangan empat badan induk negeri yang masih bernaung di bawah mereka iaitu membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 12:56 PM