MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli bersama barisan pemenang. FOTO Aizuddin Saad
MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli bersama barisan pemenang. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Bangi: Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro akan diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mengiktiraf dan mengangkat martabat atlet di tahap yang lebih tinggi.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, anugerah terbabit mendapat pujian daripada ramai pihak apabila berani menggabungkan tiga elemen iaitu akademik, hiburan dan sukan di pentas yang sama.

Beliau berkata, anugerah seumpama itu akan diteruskan dan mengharapkan lebih banyak pihak penaja tampil memberikan sokongan supaya ia menjadi platfrom terbaik untuk mengiktiraf atlet yang banyak memberikan sumbangan kepada negara.

"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan rata-rata tetamu yang hadir berpuas hati selain turut trending di Twitter.

"Kita mengharapkan anugerah ini tidak akan berakhir di sini saja kerana akan diteruskan pada tahun berikutnya sekali gus berharap lebih banyak penaja tampil dalam usaha mengiktiraf ahli sukan negara.

"Kebanyakan tetamu yang hadir puji penganjuran anugerah ini kerana menyatukan ahli akademik, artis dan atlet dalam satu program yang sama.

"Jika sebelum ini, penganjuran anugerah hanya tertumpu kepada satu bidang saja, tidak ada lagi gabungan tiga elemen seperti dilakukan Harian Metro," katanya.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan pada malam tadi iaitu Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jumari meraih kemenangan berganda pada malam kemuncak AIS apabila beliau memenangi Ikon Sukan Lelaki Breakthru sebelum dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:22 PM