SEBAHAGIAN peserta ATC 2022 sedang melakukan latihan di Kelab Renang Ipoh, semalam.
SEBAHAGIAN peserta ATC 2022 sedang melakukan latihan di Kelab Renang Ipoh, semalam.

Ipoh: Seramai 90 peserta dari seluruh Asia termasuk wakil Malaysia akan bersaing di Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 di Silverlake Village Outlet Batu Gajah, Perak, pagi esok.

Presiden Persatuan Triatlon Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Khoo Peng Chuan berkata, pihaknya cukup teruja menyambut ketibaan peserta yang mula 'berkampung' di Ipoh sejak Khamis lalu.

"Sudah tentu kami selaku penganjur amat menantikan kehadiran peserta, baik dari dalam mahupun luar negara. Kami sudah melakukan perancangan sejak tahun lalu, jadi sudah tiba masanya kami menyambut mereka dengan penuh bangga.

"Walapun tarikh penganjuran ATC ini terpaksa dianjakkan seminggu berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diadakan minggu lalu, saya gembira apabila melihat kehadiran ramai peserta dari luar negara.

"Ini membuktikan penganjuran ATC di Perak masih mampu menarik penyertaan peserta dari luar negara sekalipun ia diadakan di luar Kuala Lumpur. Selaku penganjur, kami amat berbesar hati dengan kehadiran peserta," katanya.

Perak dipilih sebagai tuan rumah peringkat terakhir ATC 2022 yang dianjurkan bersama Persatuan Triatlon Malaysia dan Persatuan Triatlon Perak dengan kerjasama Stagemaker Sdn Bhd.

Sebanyak enam kategori utama dipertandingkan pada ATC kali ini iaitu membabitkan lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas; 19 hingga 23 tahun dan 16 hingga 19 tahun.

Setiap peserta akan mengharungi tiga disiplin atau cabaran sukan berbeza bermula dengan renang sejauh 750 meter (m) diikuti berbasikal dengan jarak 20 kilometer (km) sebelum saingan berakhir dengan larian sejauh 5km.

Peng Chuan berkata, penganjuran ATC yang dianggap kejohanan triatlon berprestij di rantau Asia menjadi bukti Malaysia mampu menarik minat peserta dari luar negara untuk mengambil bahagian.

"Sukan triatlon sudah mula berkembang di negara ini. Jadi saya berharap dengan penganjuran ATC di Perak, ia akan membuka mata ramai pihak untuk melihat sukan yang cukup sinonim dengan ketahanan fizikal ini," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Triatlon Malaysia, Tony Tan Beng Hong berkata, kehadiran ramai peserta dari luar negara secara tidak langsung menaikkan semangat wakil Malaysia untuk tampil lebih kompetitif.

"Ini peluang kepada beberapa atlet triatlon negara untuk bersaing dengan peserta ternama dari luar negara.

"Saya harap mereka dapat meraih pengalaman berguna daripada penganjuran ATC di Perak kali ini.

"ATC ini menjadi medan menilai prestasi atlet negara sebelum menghadapi dua temasya sukan tahun depan iaitu Sukan SEA di Kemboja dan Sukan Komanwel Remaja di Trinidad and Tobago," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 10:04 PM