RUNE mengucup trofi kejuaraan. FOTO Reuters
RUNE mengucup trofi kejuaraan. FOTO Reuters
AFP

Paris: Pemain tenis remaja Denmark, Holger Rune mengejutkan juara enam kali, Novak Djokovic untuk merangkul gelaran Masters pertamanya, malam tadi, apabila bangkit untuk menang 3-6, 6-3, 7-5.

Rune, 19, muncul pemain termuda menang kejohanan di Paris sejak Boris Becker menewaskan lima daripada 10 pemain kelompok terbaik ketika berusia 18 tahun pada 1986 dan ia adalah pemain pertama melakukannya dalam kejohanan itu.

Dia adalah pemain kelima yang menang gelaran Masters buat kali pertama pada musim ini dan menjadi pemain Denmark pertama berada dalam kelompok 10 pemain terbaik.

"Ia mungkin perasaan paling hebat dalam hidup saya, dalam seluruh karier saya," kata Rune.

"ia umpama mimpi kecil menjadi kenyataan, walaupun saya memiliki mimpi lebih besar."

Selepas menang gelaran di Stockholm dan muncul naib juara di Sofia dan Basel, Rune memulakan misi ke final kali keempat dengan menewaskan Stan Wawrinka di pusingan pertama.

Dia kemudian menundukkan Hubert Hurkacz diikuti Andrey Rublev sebelum berdepan Carlos Alcaraz sehingga pemain nombor satu dunia itu menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan satu set di suku akhir.

Rune meranapkan rekod 16 aksi tanpa kalah dilakar Felix Auger-Aliassime di separuh akhir untuk berdepan Djokovic, yang tidak tewas di Bercy selepas kecundang di final di tangan Karen Khachanov pada 2018.

"Amat penting buat saya untuk menewaskan Felix dan Alcaraz serta semua pemain itu," kata Rune.

"Tetapi, menewaskan Novak di final dan dia mungkin pemain terhebat pernah ada dalam sukan ini adalah satu perasaan cukup tidak masuk akal."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 8:20 AM