PERTARUNGAN sengit antara Pacquiao (kanan) dan Cotto pada 2015. FOTO Agensi
PERTARUNGAN sengit antara Pacquiao (kanan) dan Cotto pada 2015. FOTO Agensi
Agensi

London: Manny Pacquiao mendedahkan pertarungan paling menjadi igauan dalam karier sehinggakan dia masih lagi terasa pedih tumbukan lawannya itu untuk tempoh beberapa tahun kemudian.

Ikon Filipina itu antara legenda dalam sejarah tinju dengan memenangi gelaran dalam lapan divisyen dan dia menentang petinju terhebat termasuk Floyd Mayweather, Oscar de la Hoya dan Juan Manuel Marquez.

Namun dia berkata tiada tumbukan lebih padu berbanding tumbukan petinju Puerto Rico, Miguel Cotto ketika mereka bertarung pada 2009.

Menurut Pacquiao kepada The Ring: "Saya masih dapat rasakan beberapa tumbukannya terkena muka saya.

"Kekal di tali bukanlah tempat terbaik untuk anda ketika bertarung dengannya. Dia sangat tepat dan hebat."

Pacquiao bertukar ke welterweight untuk mencabar petinju berfizikal lebih besar Cotto dan kedua-duanya bertarung di Las Vegas.

PacMan akhirnya menang pertarungan di pusingan ke-12 manakala Cotto terus bertarung dan setahun selepas itu dia tewas di tangan Mayweather dengan kiraan mata.

Cotto kemudiannya berdepan jaguh Mexico Canelo Alvarez pada 2015 sebelum bersara pada 2017.

Pacquiao turut tewas kepada Mayweather pada 2015 tetapi tidak menggantung sarung tangan tinjunya sehingga 2021.

Dia kini dikaitkan dengan pertarungan semula menentang Mayweather pada usia 45 tahun di Jepun tetapi belum mendapat respon daripada pihak bekas 'musuhnya' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 11:22 AM