AMARJIT menjelaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh UCI. FOTO Ihsan Team Sapura Cycling
AMARJIT menjelaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh UCI. FOTO Ihsan Team Sapura Cycling
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Hanya berbaki sehari sahaja lagi sebelum perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bermula, Malaysia dikejutkan dengan larangan penyertaan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kepada Team Sapura Cycling (TSC).

TSC yang juga juara bertahan LTdL dikenakan tindakan itu selepas lewat menjelaskan bayaran berjumlah 3,500 swiss francs (RM16,304) sebagai tanda komitmen mereka terhadap program anti doping yang diusahakan UCI.

Pasukan perlu melengkapkan borang pengakuan yang sudah dilakukan oleh TSC pada November tahun lalu serta membuat pembayaran sekurang-kurangnya dua bulan sebelum bertanding dalam perlumbaan UCI Pro Series.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menjelaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh UCI.

"PKBM sudah cuba untuk mengemukakan rayuan kepada UCI secara bertulis dan lisan tetapi akhirnya di luar bidang kuasa kami kerana perkara ini membabitkan beberapa pihak berbeza termasuk Agensi Pengujian Antarabangsa (ITA).

"Apabila ia membabitkan perkara berkaitan anti-doping, UCI sangat tegas dan tidak akan membuat sebarang pengecualian. Kami menyokong pendirian anti-doping mereka dan percaya ia mesti dihormati oleh semua pihak.

"Aspek ketidaktentuan seperti pandemik Covid-19 juga menjadi faktor dan kami tidak pasti bila penganjur menghantar surat jemputan yang disahkan kepada TSC.

"Keseluruhan isu ini harus menjadi peringatan kepada semua pasukan yang mempunyai niat untuk bersaing dalam acara Pro Series bahawa mereka mesti mengetahui apa yang diperlukan untuk mereka bersaing," katanya.

Ketiadaan TSC yang muncul juara keseluruhan bagi dua edisi berturut-turut iaitu pada 2019 dan 2020 menyaksikan Malaysia kini meletakkan sandaran kepada satu lagi pasukan benua negara iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Walaupun tanpa TSC, perlumbaan LTdL kali ini tetap menjanjikan persaingan sengit apabila enam pasukan Jelajah Dunia iaitu UAE Team Emirates, Lotto Soudal, Cofidis, EF Education-EasyPost, Movistar dan Astana-Qazaqstan turut akan beraksi pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 6:03 PM