NEVERN menunjukkan dua pingat emas dimenanginya di Sukma 2022, selepas memenangi acara Masters lelaki, hari ini.
NEVERN menunjukkan dua pingat emas dimenanginya di Sukma 2022, selepas memenangi acara Masters lelaki, hari ini.
Affan Rostam


Subang Jaya: Pemain boling Sabah, Nevern Nataneel Marcellinus mengakui dia adalah seorang yang penakut sebelum menjadi wakil negara di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Bagaimanapun, dia kini sudah mampu mengatasi perasaan itu dalam sesuatu perlawanan dan berjaya membantu Sabah dengan meraih pingat emas bagi acara Masters lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Malah, ini adalah pingat emas keduanya dalam temasya edisi ke-20 ini selepas memenangi acara perseorangan lelaki, sekali gus melengkapkan sasaran dua emas bagi kem boling Sabah, kali ini.

"Sejujurnya sebelum Sukan Sea (Vietnam 2021) saya seorang yang penakut dalam perlawanan. Saya dapat hadapi semua itu selepas mengambil masa enam bulan untuk berubah. Maka, ini adalah hasilnya. Saya dapat hadapi ketakutan yang ada dalam diri.

"Saya amat bersyukur kepada yang datang menyokong. Akhirnya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tenpin boling negeri Sabah tercapai iaitu dua emas, itulah tugas saya," katanya yang membuat penampilan terakhir di Sukma.

Nevern memenangi acara Masters dengan keputusan 2-0 menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Hazim Alihanafiah dengan melakukan sebanyak 247 jatuhan pin, mengatasi Hazim (217 jatuhan pin) pada perlawanan pertama.

Dia kemudian melakukan 257 jatuhan pin pada perlawanan kedua manakala Hazim melakukan 247 jatuhan pin dan gangsa menjadi milik atlet Sarawak, Abang Afiq Yazid Abang Azman.

Selepas ini, pemain kelahiran Kota Kinabalu itu dijadual menyertai Terbuka Sarawak dan Terbuka Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:00 PM