Atlet berbasikal negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
Atlet berbasikal negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sebagai 'The Pocket Rocket' yang baharu buat Malaysia.

Ini selepas pelumba yang memiliki ketinggian 1.52 meter (m) itu memenangi pingat gangsa dalam acara pecut individu wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, semalam.

Nurul Izzah, 21, meraih kejayaan itu selepas menewaskan pelumba Jepun, Aki Sakai 2-0 pada perlumbaan penentuan gangsa yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi.

Dia terlepas peluang untuk merebut pingat emas dan perak selepas tewas kepada wakil China, Tong Mengqi 0-2 di peringkat separuh akhir.

Tubuh badan kecil yang dimiliki pelumba wanita negara itu mirip jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang diberi julukan sebagai 'The Pocket Rocketman'.

Beasley berkata berdasarkan prestasi semasa, Nurul Izzah kini di landasan tepat bagi mencetuskan impak di pentas antarabangsa tetapi menegaskan masih ada banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki untuk pelumba itu melangkah lebih jauh.

"Saya sememangnya tahu Izzah sudah tidak jauh lagi, dia adalah seorang lagi 'pocket rocket' Malaysia.

"Untuk mencapai kejayaan di kejohanan ini dalam tempoh awal kerjayanya adalah sesuatu yang istimewa. Namun, masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia nantikan aksinya pada kitaran Olimpik yang seterusnya," kata Beasley kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Nurul Izzah menaiki podium dalam acara pecut pada penampilan ketiganya di ACC dan pencapaian itu menyaksikan dia menjadi pelumba wanita kedua yang meraih pingat dalam acara berkenaan.

Kelibat Nurul Izzah mula mencuri tumpuan selepas dia mencipta kejutan memenangi emas dalam acara 500m ujian masa di ACC 2022 yang turut berlangsung di New Delhi pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, dia gagal mempertahankan kejuaraan pada edisi tahun lalu di Nilai apabila terpaksa berpuas hati dengan perak.

Nurul Izzah berpeluang untuk merampas kembali emas acara 500m ujian masa apabila dia turun beraksi dalam acara kegemarannya itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:16 PM