Marcus Culey ketika menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada Tour De Selangor 2019 baru-baru ini. FOTO NSTP
Marcus Culey ketika menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada Tour De Selangor 2019 baru-baru ini. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


PASUKAN benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) tidak akan menyenaraikan ayam tambatannya, Marcus Culey ke edisi pertama Cambodia Bay Cycling Tour.

Sebaliknya TSC akan mempertaruhkan enam pelumba tempatan bagi menggalas cabaran pada perlumbaan tiga peringkat berstatus 2.2 di Jelajah Asia itu yang dijadualkan pada 4 hingga 6 Januari ini.

Culey mengharumkan nama TSC di Tour de Selangor (TdS) 2019 pada dua minggu lalu apabila memenangi empat dari lima peringkat perlumbaan selain tiga jersi utama (individu, pecut dan bukit).

"Culey akan menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia pada 7 Januari ini. Kami akan menghantar enam pelumba tempatan.

"Tiada sasaran khusus ditetapkan kerana mereka baru saja kembali daripada off-season. Ia adalah kejohanan pertama mereka," kata Prinsipal TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Enam pelumba TSC yang menggalas cabaran adalah Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Muhamad Zawawi Azman, Mohamad Saari Amri, Shaiful Adlan Mohd Shukri, Akmal Hakim Zakaria dan Muhammad Hakimi Ajis.

"Kejohanan lebih kepada persiapan pelumba untuk Kejohanan Lebuhraya Asia di Kuala Lumpur pada Mac nanti," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 9:20 PM