IGA Swiatek. -FOTO AFP
IGA Swiatek. -FOTO AFP
AFP

Paris: Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek menjadi satu-satunya pemain yang berada dalam ranking 10 pemain pilihan meneruskan perjuangan di Terbuka Perancis.

Iga juara 2020 tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain ranking ke-95 dunia dari Montenegro, Danka Kovinic 6-3, 7-5 untuk mencatatkan kemenangan pada pusingan ketiga dan kemenangan ke-31 berturut-turut.

"Saya mahu bermain dengan sangat agresif tetapi kadangkala saya merasakan saya memukul dengan menggunakan terlalu banyak tenaga dan ia sukar untuk di kawal," kata pemain berusia 20 tahun dari Poland itu.

Kemenangan berturut-turut Iga itu adalah yang terbaik sejak Serena Williams meraih 34 kemenangan pada 2013.

Dia seterusnya akan bertemu bintang muda dari China, Zheng Qinwen yang berjaya mara ke pusingan 16 terbaik pada penampilan sulungnya selepas pemain veteran Perancis, Alize Cornet yang membuat penampilan kali ke-61 berturut-turut di Grand Slam, menarik diri kerana kecederaan kaki selepas ketinggalan 6-0, 6-3.

Selepas mengejutkan juara 2018 Simona Halep di pusingan kedua, Qinwen menjadi pemain keempat China yang berjaya mara sehingga pusingan keempat di Paris di mana rakan senegara Li Na merangkul gelaran Grand Slam pertama pada 2011.

"Saya sentiasa tahu saya sentiasa berpeluang untuk bermain dengan baik dan sekarang saya mahu meneruskannya," kata Qinwen yang kini berusia 19 tahun dan menduduki ranking ke-74 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 1:03 PM