REAKSI Iga (kiri) dan Kaja sebaik perlawanan berakhir.
REAKSI Iga (kiri) dan Kaja sebaik perlawanan berakhir.
Reuters

New York: Pemain nombor satu dunia Iga Swiatek mara ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mudah menewaskan rakan karib Kaja Juvan dari Slovenia 6-0, 6-1 di New York awal pagi tadi.

Kemenangan Iga dalam masa 49 minit adalah yang ke-10 berturut-turut untuknya di kejohanan itu.

Juara bertahan terbabit dalam misi memburu gelaran Grand Slam kelima selepas menjuarai Terbuka Perancis awal tahun ini.

Pemain berusia 22 tahun dari Poland itu terlalu dominan menerusi 21 'winners' dan hanya lima kesilapan manakala Kaja hanya 2 'winners' dan 12 kesilapan.

"Saya tak suka sebenarnya menewaskan rakan baik," kata Iga selepas tamat perlawanan. "Menentangnya seperti bermain dengan kakak saya. Saya tak mempunyai ramai kawan tetapi dia kawan karib saya."

Iga muncul pemain termuda mara ke pusingan 16 kali ketiga berturut-tururt selepas Caroline Wozniacki dari Denmark melakukannya antara 2008 sehingga 2011.

Dia yang dalam misi menjadi pemain wanita pertama mempertahankan kejuaraan Terbuka AS selepas Serena Williams mencatat hatrik antara 2012-2014 akan menentang pilihan ke-20 Jelena Ostapenko dari Latvia yang menewaskan pemain tuan rumah Bernarda Pera 4-6, 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 11:45 AM