KONTINJEN angkat berat negara berjaya lepasi sasaran satu pingat perak dan dua gangsa. -FOTO Eizairi Shamsudin
KONTINJEN angkat berat negara berjaya lepasi sasaran satu pingat perak dan dua gangsa. -FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) merayu supaya Kementerian dan Belia Sukan (KBS), syarikat swasta dan korporat bersama-sama membantu menaikkan semula prestasi sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, PABM bukanlah sebuah persatuan yang 'berpoket tebal' berbanding beberapa badan induk kebangsaan yang lain namun mampu menyumbangkan pingat di temasya utama seperti Sukan Sea dan Sukan Komanwel.

"Kita ini persatuan marhaen, gagal daripada segi sorakan. Ada sukan yang kaya tetapi menang sorak namun gagal memberikan pingat kepada negara. Maka, kita bukan persatuan yang begitu dan apa yang penting bagi kami, adalah menyumbang pingat kepada negara.

"Daripada sudut atlet itu, Majlis Sukan Negara (MSN) ada membantu tetapi daripada segi pengurusan dan yang lain, persatuan yang keluarkan (perbelanjaan). Kita tak ada penaja seperti persatuan lain.

"Maka saya mengambil kesempatan ini, sekiranya ada penaja di luar sana, bantulah kami dan KBS lihatlah kami... jangan pinggirkan kami dan sebagainya. Saya sudah bercakap dengan menteri (KBS), dan beliau berjanji, berkomitmen untuk melihat sukan ini dan harap ia menjadi kenyataan," kata Ayub.

PABM sebelum ini pernah membuat keputusan nekad membubarkan skuad angkat berat kebangsaan sedia ada susulan kes doping.

Kes sebegitu sering kali membayangi sukan berkenaan dan ia secara tidak langsung memberikan mencemarkan imej sukan berkenaan.

Begitupun, di temasya Sukan Sea Vietnam 2021, skuad angkat berat tetap mampu menjadi penyumbang kepada pungutan pingat kontinjen negara dan melepasi sasaran ditetapkan iaitu satu pingat perak dan dua gangsa.

"Persatuan menerima pandangan yang agak sinis dan buruk terutama apabila dikalangan atlet, ada yang terbabit dengan masalah doping. Maka bagaimana untuk kita selesaikan?.

"Jadi ketegasan daripada pihak persatuan itu perlu dan kita pernah membubarkan keseluruhan pasukan, kita hanya meninggalkan tujuh atau lapan atlet saja dan inilah sebenarnya atlet yang terbaik.

"Saya berharap selepas Sukan Komanwel 2022 (di Birmingham, Julai ini), kita akan dapat memulakan program pelapis dan sebagainya," katanya.

"Sebenarnya kita masih amat bergantung dengan KBS kerana kita boleh dikatakan sebagai penyumbang tetap pingat di Sukan Sea.

"Walaupun tidak ada emas, namun kami penyumbang tetap untuk Sukan Komanwel (emas), dan pihak KBS perlu melihat perkara berkenaan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 12:26 PM