BARISAN skuad boling yang akan beraksi di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO MTBC
BARISAN skuad boling yang akan beraksi di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO MTBC
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Pemain boling yang membawa cabaran negara di Sukan SEA Hanoi kekal tenang dan tidak sabar untuk menunjukkan kemampuan masing-masing apabila acara itu membuka tirainya, esok.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok menjangkakan anak buahnya sudah bersedia untuk berentap dalam acara perseorangan dan berpasangan yang akan berlangsung selama dua hari di Pusat Boling Royal City Hanoi.

Acara berpasukan pula akan berlangsung pada Rabu dan Khamis.

"Kami sudah menjalani beberapa sesi latihan di venue pertandingan. Venue dan lorong semuanya baik, tempatnya pun masih baru jadi setakat ini tiada masalah.

"Kami hanya akan menguji corak peminyakan (oiling patterns) sebenar yang digunakan bagi pertandingan ketika sesi latihan rasmi hari ini dan saya berharap semuanya berjalan lancar.

"Setakat ini, pemain nampak tenang dan diharapkan mereka akan selesa serta tidak dibelenggu sebarang tekanan apabila pertandingan bermula esok.

"Ini amat penting jika mereka mahu memberikan yang terbaik dalam pertandingan," katanya.

Maradona juga berkata tidak ada kejutan dalam senarai atlet bagi atlet lain dengan MTBC menghantar skuad muda ke Hanoi yang sebelum ini belum pernah tampil dalam saingan dwitahunan itu.

Ini sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa khususnya dalam temasya pelbagai sukan yang akan menyajikan pelbagai cabaran serta tekanan berbanding pertandingan biasa.

"Singapura dan Indonesia menghantar pasukan terkuat mereka tetapi kita sudah tahu mengenainya sebelum kita ke sini," kata Maradona.

"Malah, hampir semua negara menghantar pasukan senior mereka untuk bertanding di sini dan hanya kita yang meletakkan harapan kepada pemain muda."

Pasukan lelaki dibarisi Shahrukh Amin Zulkifli, Hafiz Zainuddin, Syazirol Shamsudin dan Nevern Netaneel Marcellinus Petrus.

Pasukan wanita pula menampilkan Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Nerosha Keligit Thiagarajan dan Nur Syazwani Sahar.

Tiada sasaran spesifik diletakkan untuk skuad boling negara meskipun mereka dijangka dapat memberi cabaran untuk merebut pingat.

Skuad negara menggondol dua emas, tiga perak dan dua gangsa untuk menghuni kedudukan ketiga secara keseluruhan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 1:50 PM