PASUKAN tenpin boling wanita (kiri) meraih perak di Kejohanan Tenpin Boling Dunia berlangsung di Dubai. FOTO Ihsan Konfederasi Tenpin Boling Malaysia
PASUKAN tenpin boling wanita (kiri) meraih perak di Kejohanan Tenpin Boling Dunia berlangsung di Dubai. FOTO Ihsan Konfederasi Tenpin Boling Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Biarpun tanpa pingat emas, skuad tenpin boling negara berhak mendapat pujian atas prestasi membanggakan dengan membawa pulang masing-masing satu pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Tenpin Boling Dunia berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata barisan pemain bermain dengan baik walaupun mempunyai tempoh singkat untuk melakukan persiapan, tambahan pula tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa hampir dua tahun susulan pandemik Covid-19.

"Dari segi kompetitif, kami masih banyak kelemahan tapi kami berjaya melangkah ke suku akhir dalam semua pertandingan. Pada saya ia adalah satu pencapaian membanggakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Maradona yang juga pengurus pasukan berkata barisan pemain muda turut tidak mengecewakan apabila menampilkan aksi meyakinkan sepanjang kejohanan dan banyak perkara boleh dipelajari bagi memperbaiki prestasi mereka pada masa akan datang.

Selain itu, Maradona berkata beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh pemain antaranya menghasilkan balingan lebih baik ketika situasi tertekan dalam pertandingan.

Sementara itu, beliau berkata selain penyertaan di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei 2022, pihaknya masih belum mengenal pasti kejohanan yang bakal disertai skuad kebangsaan tahun depan.

Pasukan wanita negara dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik meraih pingat perak selepas tewas kepada Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan penentuan ketika aksi final pada Isnin lalu.

Sementara itu pasukan lelaki diwakili Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhammad Syazirol Shamsudin berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada Korea Selatan di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:12 PM