BEREGU negara kurang menyerlah.
BEREGU negara kurang menyerlah.
Naqib Nor Said


FAKTOR kurang pengalaman menjadi punca skuad ping pong negara sekadar menutup kempen Sukan SEA 2017 dengan dua pingat gangsa menerusi kategori berpasukan lelaki dan wanita di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Faktor itu dijadikan alasan ketua jurulatih ping pong negara Beh Lee Wei selepas melihat anak buahnya tumbang di separuh akhir kepada Singapura dan Vietnam sekali gus hanya berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Kami masih perlu bekerja keras dan perlu melakukan perubahan sekiranya mahu bersaing dengan pasukan handalan di rantau Asia Tenggara ini pada Sukan SEA akan datang.

“Mungkin kami akan lebih tumpukan kepada pemain muda, ini kerana pemain sedia ada tidak cukup bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk bersaing di tahap tertinggi.

“Saya tidak tahu sama ada mereka ada masalah keyakinan atau bagaimana tetapi saya percaya semua sudah beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas kempen ping pong melabuhkan tirainya, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir, skuad berpasukan wanita negara tewas 0-3 kepada Singapura bermula dengan kekalahan perseorangan Lee Rou You kepada Yu Mengyu 9-11, 3-11, 6-11, diikuti Ho Ying tewas 3-11, 7-11, 11-9, 3-11 kepada Lin Ye.

Beregu utama negara Rou You-Ting Hie Pin gagal mengekang kemaraan Singapura apabila kalah kepada Mengyu-Zhou Yihan 11-13, 5-11, 7-11.

Sementara itu, aksi berpasukan lelaki turut mengulangi skrip yang sama apabila dikecewakan Vietnam 0-3 selepas Lee Chee Feng, Muhamad Asyraf Haikal Muhamad Rizal dan gandingan Chee Feng-Mohd Shakirin Ibrahim tewas kepada lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 3:21 PM