TRACIE (kanan) dan Farah Ann ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Filipina 209. FOTO Osman Adnan
TRACIE (kanan) dan Farah Ann ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea Filipina 209. FOTO Osman Adnan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Namanya mungkin tak segah Farah Ann Abdul Hadi, namun Tracie Ang tetap menjadi watak utama dalam skuad gimnastik artistik negara dan kini mengumumkan persaraannya.

Dia antara gimnas yang membantu skuad wanita negara meraih emas dalam acara berpasukan di temasya Sukan Sea dua kali berturut-turut ketika di Kuala Lumpur 2017 dan juga Filipina dua tahun selepas itu.

Sepanjang 15 tahun mewakili negara, kejayaan terbaik Tracie ialah melakar sejarah di Kejohanan Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik di Slovania 2016 apabila meraih emas.

"Saya sangat beruntung kerana mempunyai barisan jurulatih dan rakan pasukan yang hebat sepanjang karier saya.

"Kami seperti satu keluarga dan saya berharap dapat melihat sukan gimnastik di Malaysia terus menyinar dengan kehadiran pelapis baru.

"Saya harap dedikasi dan bakti untuk pasukan selama ini mampu memberikan satu contoh yang baik buat sesiapa yang akan menggantikan tempat saya.

"Saya sentiasa akan kembali untuk memberi bantuan kepada mereka jika diperlukan.

"Walaupun saya bersara hubungan saya bersama mereka akan kekal kuat. Saya mengucapkan selamat maju jaya buat Farah Ann untuk tahun hadapan.

"Terus berikan yang terbaik untuk kejohanan yang akan datang. Semoga anda dan pasukan gimnas negara mampu meraih kejayaan di bawah kepimpinan anda sebagai atlet senior," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Tracie berkata buat ketika ini dia mahu berehat terlebih dahulu sebelum memulakan kerjaya baru mungkin dalam seni, fesyen ataupun dekorasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:53 PM