VICTORIA Azarenka. FOTO AFP
VICTORIA Azarenka. FOTO AFP
AFP

Paris: Bintang tenis Belarus, Victoria Azarenka yang juga bekas pemain nombor satu dunia serta pemenang dua kali Grand Slam berkata, dia kecewa dengan keganasan di Ukraine berikutan pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya itu.

Pemain berusia 32 tahun itu yang memenangi pingat emas untuk Belarus pada Sukan Olimpik 2012, adalah salah seorang atlet berprofil tinggi dari negaranya yang mengecam konflik itu.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan yang berlaku sejak beberapa hari lalu di Ukraine.

"Sungguh menyayat hati melihat mereka yang tidak bersalah terkesan dan terus terjejas dengan keganasan ini.

"Saya sentiasa melihat rakyat Ukraine dan Belarus mesra dan menyokong antara satu sama lain. Sukar untuk menyaksikan keganasan yang berlaku ketika ini," katanya di Twitter.

Pada Selasa lalu, Persekutuan Tenis Antarabangsa mengumumkan bahawa Rusia dan Belarus digantung daripada menyertai acara berpasukan Piala Davis dan Piala Billie Jean King.

Bagaimanapun, pemain dibenarkan beraksi dalam acara individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 12:29 PM