PEMAIN Belarus, Victoria Azarenka. FOTO FAIL AP
PEMAIN Belarus, Victoria Azarenka. FOTO FAIL AP
AFP

New York: Bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Victoria Azarenka dari Belarus disingkirkan daripada perlawanan pertunjukan Terbuka Amerika Syarikat (AS) bertujuan mengumpul sumbangan kepada negara dilanda perang, Ukraine, kata pegawai, hari ini.

Azarenka sepatutnya menyertai pemain seperti Rafael Nadal, Coco Gauff, John McEnroe, Carlos Alcaraz dan Iga Swiatek pada perlawanan dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ukraine.

Bagaimanapun, beberapa pemain Ukraine membantu penyenaraian nama Azarenka yang muncul pemenang kejohanan utama sebanyak dua kali.

Ini berikutan, Belarus adalah sekutu rapat kepada Russia dan membenarkan Moscow menggunakan negaranya untuk menyerang Ukraine.

"Dalam tempoh 24 jam selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan dialog bersama semua pihak terbabit, Victoria Azarenka tidak akan menyertai 'Pertunjukan Tenis Keamanan' yang kami anjurkan hari ini," kata kenyataan Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA).

"Vika adalah pemain serta pemimpin yang hebat dan kami mengharagai keinginannya untuk turut serta.

"Berikutan sensitiviti pemain Ukraine dan konflik yang berterusan, kami percaya ini adalah tindakan yang tepat," katanya.

Pemain Ukraine yang menduduki ranking ke-70 dunia, Marta Kostyuk, baru-baru ini mendakwa dia menolak peluang bermain dalam acara pertunjukan itu kerana membantah kehadiran Azarenka.

"Apabila kami dapati ada wakil dari Rusia atau Belarus dalam acara itu, saya serta merta memberitahu tidak akan menyertainya," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 10:45 AM