HARRIF gembira selepas berjaya muncul juara GP Manavgat di Turki semalam. FOTO Ihsan Sharon Jane
HARRIF gembira selepas berjaya muncul juara GP Manavgat di Turki semalam. FOTO Ihsan Sharon Jane
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh menawan Grand Prix (GP) Manavgat, di Turki, semalam membuktikannya dia bukanlah sekadar jaguh kampung.

Harrif mempamer kayuhan cukup bertenaga apabila muncul pelumba pertama melepasi garisan penamat pada saingan sejauh 149 kilometer (km) itu sekali gus kemenangan pertamanya di bumi Eropah.

Ia menambah koleksi karier gemilangnya yang sebelum ini gah di pentas Asia terutama pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) musim lalu apabila memenangi dua peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelima dan ketujuh.

"Selepas setahun tak berlumba, saya berjaya buktikan bahawa saya mampu menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi perlumbaan di Eropah.

"Sudah pasti saya bangga dengan kejayaan ini kerana sebelum ini pernah menang di LTdL. Sekarang saya sudah buktikan mampu juga memenangi perlumbaan di luar negara.

"Lebih membanggakan kejayaan kali ini ialah saya dapat mengatasi barisan pelumba hebat termasuk (Andrea) Guardini. Nama-nama besar ini memberi lebih semangat kepada saya untuk bersaing memenangi perlumbaan," katanya ketika dihubungi.

Harrif turut berterima kasih kepada rakan sepasukannya yang bekerja keras memastikannya berada di barisan hadapan sebelum melakukan henjutan ke garisan penamat.

"Mereka 'menjaga' saya dengan baik dari awal sehingga pecutan ke penamat. Saya juga bekerja keras untuk memastikan dapat memenangi perlumbaan ini.

"Secara keseluruhan saya memang amat berpuas hati dengan kejayaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 5:27 PM