MAYWEATHER melancarkan kereta lumba NASCAR miliknya. FOTO Agensi
MAYWEATHER melancarkan kereta lumba NASCAR miliknya. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Legenda tinju, Floyd Mayweather beralih arah kepada sukan permotoran apabila melancarkan pasukan lumba NASCAR miliknya sendiri.

Pasukan yang dinamakan The Money Team Racing itu akan beraksi dalam saingan Daytona 500 di Florida pada bulan ini.

Mayweather yang memegang rekod tidak pernah tewas sepanjang kariernya berkata: "Saya amat meminati kereta lumba dan mahu beraksi.

"Saya tahu NASCAR bukan perlumbaan yang mudah tetapi perkara yang mudah sememangnya tidak berbaloi untuk saya lakukan."

Bekas petinju berusia 44 tahun itu mengumumkan pembabitan terbarunya itu di akaun Twitter miliknya. Dia memuatnaik kereta lumba dengan pelbagai warna.

Mayweather sememangnya sudah lama mahu melancarkan pasukan NASCAR miliknya namun ia tertangguh berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun sekarang, pemandu pasukan itu, Kaz Grala sudah bersedia memandu jentera Chevrolet berwarna kuning, merah, ungu dan biru dengan nombor 50, iaitu rekod kemenangan 50-0 diraih Mayweather dalam aksi profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:10 PM