Pemain Perancis, Alize Cornet mengatasi Garbine Muguruza di Terbuka Australia. FOTO EPA
Pemain Perancis, Alize Cornet mengatasi Garbine Muguruza di Terbuka Australia. FOTO EPA
Reuters

Melbourne: Bekas juara Wimbledon, Garbine Muguruza tersingkir di Terbuka Australia pagi ini, dalam satu lagi keputusan mengejutkan di acara Grand Slam itu apabila tewas kepada pemain Perancis, Alize Cornet, 6-3, 6-3.

Alize mengatasi pemain pilihan ketiga dari Sepanyol itu untuk mara ke pusingan berikutnya di mana dia akan berdepan sama ada Heather Watson atau Tamara Zidansek.

"Saya rasa sangat menakjubkan dan saya fikir saya beraksi dengan baik hari ini," kata Alize.

"Fokus saya pada permainan adalah jelas, saya beri tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan.

"Saya fikir seperti berada dalam gelembung dan anda harus beraksi dengan sangat baik untuk menewaskan Garbine kerana dia seorang pemain yang mempunyai semangat juang tinggi."

Alize bermula cemerlang untuk mendahului pada set pertama dan membuatkan Garbine yang juga naib juara Terbuka Australia 2020 berdepan tekanan untuk menamatkan saingan.

Dia sekali lagi mengekalkan rentak untuk menguasai perlawanan dalam set kedua sehingga menyebabkan Garbine melakukan beberapa kesilapan sekali gus membolehkan kemenangan berpihak kepada jaguh Perancis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 11:25 AM