AZIZUL bersama keluarganya di Melbourne, Australia. FOTO Instagram azizulhasniawang
AZIZUL bersama keluarganya di Melbourne, Australia. FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ikon sukan berbasikal Datuk Azizulhasni Awang muncul antara atlet terbaik negara sepanjang 2021 selain tiga atlet Paralimpik yang menyumbang tiga pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 - Bonnie Bunyau Gustin, Abdul Latif Romly dan Cheah Liek Hou.

Azizul, 33, meraih pingat perak dalam acara kegemarannya keirin pada temasya Olimpik Tokyo 2020 pada 8 Ogos lalu, satu peningkatan daripada pingat gangsa yang dimenanginya di Rio 2016.

Tidak hairan dia kini memburu emas pada temasya Paris 2024.

"Pelbagai suka duka ditempuhi tapi saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan dengan pelbagai kebaikan dan rezeki sepanjang 2021. Kadang-kadang tu pernah juga datang kerisauan kerana banyak sangat kemanisan yang Allah kurniakan kepada saya dan keluarga, takut bila dihujani dengan ujian nanti, saya longlai.

"Tapi sebagai seorang hamba, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi seorang mukmin yang cemerlang," tulisnya dalam perkongsian sempena Tahun Baru 2022 di laman sosial.

"Berakhirnya tahun 2021 dan melangkah masuk ke 2022, saya berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan segala bentuk kecemerlangan pada tahun baru ini. Saya juga doakan supaya semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang sentiasa menyokong perjalanan karier saya akan turut sama-sama cemerlang dalam kehidupan masing-masing. Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT sentiasa.

"Tahun ini dua temasya besar yang boleh menjadi sasaran Azizul dan atlet negara adalah Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September) selain Sukan Sea Vietnam (12-23 Mei).

Bagi bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, beliau mengharapkan 2022 lebih menceriakan rakyat negara ini selepas wabak Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya serta bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak dua minggu lalu.

"2022, kami tidak mahu virus lagi, kami mahukan lagu hit daripada Miley Cyrus, kami tidak mahu lagi laut bergelora, kami mahu mata wang yang lebih kukuh, kami tidak mahu lagi politik yang teruk, kami tidak mahu lagi sakit dan kematian, kami mahu setiap orang aman makmur dan sihat, Selamat Tahun Baru semua!" tulisnya dalam media sosial.

Chong Wei berkata, pada 2021, wabak Covid-19 masih belum berlalu dan banjir datang pada awal dan hujung tahun jadi ia tidak mudah untuk setiap orang.

Bagi 2022, beliau berharap setiap orang ceria dan gembira manakala jalan raya hangat seperti biasa.

Pemenang pingat emas 100 meter lelaki Sukan Sea Manila 2019, Haiqal Hanafi, pula melahirkan kesediaan untuk bangkit dan berusaha meraih kejayaan lebih bermakna tahun ini.

"Ketika kita gagal dalam sesuatu perjuangan, itu bukan bermaksud kita harus menyerah dan berhenti berusaha, maka kita harus bangkit semula dan berusaha," tulisnya dalam laman Instagram.

Bagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, yang diingati peminat dan warganet ketika temasya Tokyo 2020 kerana senyumannya, dia bagaikan tidak percaya tahun 2022 sudah tiba.

"Sudah tahun 2022? Cepatnya masa berlalu... rasanya macam baru semalam saya bertanding pada Sukan Olimpik," tulisnya ringkas.

Rakan seperjuangannya Datuk Pandelela Rinong yang kini berada di kampung halamannya Kuching turut mengharapkan sinar gembira buat kancah sukan negara tahun ini.

"Terlalu banyak perkara berlaku pada 2021 yang ingin saya hargai, syukuri dan berterima kasih. Sekurang-kurangnya ia lebih 'happening' berbanding 2020. Jumpa anda di tahun 2022, harap ia lebih menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:24 PM