POAD (dua dari kiri) kini sedia beri tunjuk ajar kepada Wafiy.
POAD (dua dari kiri) kini sedia beri tunjuk ajar kepada Wafiy.
Aida Adilah Mat


PELARI muda berbakat besar, Abdul Wafiy Roslan mengakui bertuah dapat menimba pengalaman dan berlatih di bawah bimbingan Mohd Poad Md Kassim.

Katanya, ia seperti mimpi menjadi kenyataan kerana memang menjadi keinginannya berlatih dengan jurulatih pecut negara itu yang sebelum ini berjaya membawa Khairul Hafiz Jantan muncul sebagai raja pecut Asia Tenggara.

Wafiy menjuarai acara 100 meter lelaki Kejohanan Olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil minggu lalu, biarpun baru enam bulan berlatih mendapat bimbingan Mohd Poad.

Lebih manis dia turut berjaya menewaskan pelari berpengalaman negara yang beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Haiqal Hanafi.

Bagaimanapun tegas Wafiy, acara 100m bukanlah kegemarannya dan kemenangan itu dianggap sebagai rezeki berikutan sebelum ini memberi tumpuan dalam acara 400m.

Atlet berusia 18 tahun dari Kuala Terengganu itu mengakui lebih berminat dalam acara 400m dengan sasaran utama adalah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Finland, Julai depan.

“Saya anggap menang dalam 100m itu adalah rezeki dan tidak pernah terlintas langsung untuk beraksi dalam acara pecut.

“Lagi pula catatan masa bukanlah pantas sangat dan masih jauh lagi jika nak dibandingkan dengan beberapa atlet terkemuka negara. Buat masa ini, saya selesa beraksi dalam acara 400m,” katanya

Terdahulu atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu mencatat masa 10.69 saat untuk memenangi emas mengetepikan cabaran atlet pecut kebangsaan juga dari SSTMI, Haiqal yang meraih perak dengan catatan 10.77s ketika Kejohanan Olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Gangsa dimenangi seorang lagi pelari SSTMI, Muhamad Zulfiqar dengan catatan 10.78s, manakala Badrul Hisyam (SSTMI) menamatkan saingan di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:58 PM