AHMAD Faizal Azumu (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Faizal Azumu (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tiada lagi atlet 'tangkap muat' selepas ini apabila Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan mereka kekal dalam program latihan bermula tahun depan.

Ini kerana, kekangan peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium menyebabkan MSN terpaksa mengambil langkah susulan dengan memberi keutamaan kepada atlet yang mempunyai rekod pencapaian terbaik di peringkat tertinggi untuk terus kekal dalam program latihan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 ekoran kekurangan penganjuran kejohanan bermula 2020 sehingga kini akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa adalah sebagai persediaan menghadapi tiga temasya utama tahun depan membabitkan Sukan Sea Vietnam(12-23 Mei), Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September).

"Langkah ini perlu untuk memastikan atlet berkualiti terus mendapat sokongan dan perkhidmatan terbaik bagi menjamin kejayaan di peringkat tertinggi secara konsisten," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 288 atlet akan kekal mengikuti program latihan sepenuh masa dengan mereka dilihat berpotensi meraih pingat pada tiga temasya utama 2022.

"KBS dan MSN tetap akan berusaha mendapatkan peruntukan dana tambahan bagi membolehkan lebih ramai atlet mengikuti program latihan sepenuh masa.

"Tetapi dengan kualiti menjadi petunjuk prestasi utama, atlet yang digugurkan perlu terlebih dahulu membuktikan kemampuan mereka secara konsisten di pentas saingan tertinggi sebelum dapat kembali menikmati status yang pernah mereka miliki sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:10 PM