SKUAD wanita negara meraih perak di Dubai. FOTO MSN
SKUAD wanita negara meraih perak di Dubai. FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun hanya meraih perak di Kejohanan Tenpin Boling Dunia di Dubai skuad berpasukan wanita mengakui ia satu perkembangan positif selepas sekian lama tidak beraksi akibat pandemik Covid-19.

Skuad berpasukan wanita negara yang dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik tumpas di tangan Amerika Syarikat (AS) dalam aksi final yang berlangsung, awal pagi tadi.

AS yang dibarisi Kelly Kulick, Danielle McEwan, Missy Parker dan Jordan Richard berjaya muncul juara selepas memenangi permainan penentuan dengan kemenangan 40-38.

Sebelum itu, Siti Safiyah bersama rakan sepasukan berjaya memenangi permainan pertama 190-170 sebelum AS bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan di permainan kedua 215-171 sekali gus mengheret ke aksi penentuan.

Menurut Siti Safiyah, biarpun kecewa kerana terlepas emas tetapi pencapaian meraih perak tetap sesuatu yang positif mengambil kira selepas hampir dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif susulan pandemik Covid-19.

"Kami sudah cuba buat yang terbaik, memang kami sasarkan untuk memenangi emas namun kami terima keputusan ini. Apa pun, kami tetap bersyukur kerana selepas dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan, ini pencapaian yang agak besar buat kami," katanya.

Ujar pemain berusia 31 tahun itu, dia berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan sepanjang aksi mereka di Dubai dan tetap gembira dengan meraih pingat perak.

Dalam aksi suku akhir, skuad wanita negara yang mara selepas muncul naib juara Kumpulan B menewaskan Jerman 235-199 sebelum menundukkan Filipina 279-180 di peringkat separuh akhir.

Sementara itu, skuad lelaki negara yang dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhammad Syazirol Shamsudin meraih gangsa selepas tewas di tangan Korea Selatan 184-299 dalam aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 11:58 AM