NURSYAZWANI antara pemain muda boling negara yang akan mengibarkan cabaran di Dubai.
NURSYAZWANI antara pemain muda boling negara yang akan mengibarkan cabaran di Dubai.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hanya tinggal Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman bersama Natasha Roslan pemain senior dalam skuad negara yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Boling Dunia di Dubai bermula dari 4 hingga 16 November ini.

Tiga lagi pemain dalam skuad emas 2017 yang berjaya menamatkan penantian 10 tahun untuk merangkul emas di Kejohanan Dunia, Shalin Zulkifli, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane tidak lagi beraksi.

Namun Siti tetap yakin kemampuan barisan muda negara dengan semangat yang ditunjukkan mereka, skuad boling wanita negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

Dia yang meraih emas di Sukan Asia 2018 bagaimanapun menyedari saingan dari negara Eropah tidak mudah selepas melihat mereka beraksi di beberapa kejohanan baru-baru ini.

Justeru, katanya, sehingga kini dia sentiasa berhubung dengan Shalin untuk mendapatkan tip dan tunjuk ajar daripada pemain berpengalaman itu.

"Saya banyak bertanya kepada Shalin bagaimana nak membantu pemain muda ini sebelum berlepas ke kejohanan dunia. Biarpun Shalin sekarang di Amerika Syarikat, kami sentiasa berhubung. Saya harap dia dapat tolong saya kerana dia seorang pemain yang banyak pengalaman dan tahu bagaimana menguruskan pemain muda ini," katanya.

Ditanya sama ada dia berasa tekanan menggalas tugas sebagai kapten dan pemain senior, pemain kelahiran Selangor itu berkata, ia dianggap sebagai satu cabaran. "Persediaan kami walaupun singkat tapi kami sudah bersedia untuk ke kejohanan dunia. Kami ada beberapa bulan untuk mendapatkan balik momentum permainan biarpun dua tahun tak pergi mana-mana kejohanan.

"Malah saya lihat, adik-adik ini sangat berpotensi dan semangat mereka cukup tinggi mungkin mereka masih muda. Saya harap mereka akan terus berusaha biarpun nanti di kejohanan itu akan berasa sedikit tekanan kerana kali pertama beraksi di kejohanan besar seperti ini," katanya.

Seramai tujuh pemain disenaraikan untuk menggalas tugas di kejohanan kali ini. Selain Siti dan Natasha, skuad negara akan diperkuatkan oleh Gillian Lim, Nur Syazwani Sahar, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Nerosha Keligit Thiagarajan dan Faten Najihah Ahmad Faik.

Kali terakhir skuad boling wanita negara meraih emas adalah ketika beraksi di Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, 2017. Ketika itu skuad Malaysia diketuai pemain berpengalaman, Shalin, Siti, Syaidatul Afifah, Li Jane dan Natasha menewaskan Singapura di saingan final dengan keputusan 214-209, 188-177.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:03 PM