REAKSI Ziyad sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO Bernama
REAKSI Ziyad sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Sepang: Atas semangat kesukanan, atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berhenti menyerang pemenang pingat emas dan perak acara lontar peluru F20 dari Ukarine, Maksym Koval dan Oleksandr YarovyiI di media sosial.

Mereka juga adalah atlet kelainan upaya yang mempunyai kekurangan sama dan terpaksa menempuhi dugaan itu.

Ziyad mengatakan perkara itu selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bersama kontinjen negara yang pulang dari temasya Paralimpik, Tokyo.

"Hingga sekarang saya masih lagi merasa sangat-sangat sedih. Tak pernah saya pergi bertanding tak bawa pulang pingat buat negara.

"Kali ini saya bawa balik duka dan rasa sedih.

"Tapi di kesempatan ini saya harap seluruh rakyat Malaysia janganlah kecam kawan saya, pemenang emas dari Ukraine itu.

"Harap faham. Dia dari kategori yang sama, lemah. Tapi bila diserang netizen saya tak tahu macam mana situasi dia tangani perkara ini.

"Kita sebarkan perkara positif barulah kita boleh maju," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, kesakitan yang dirasainya sukar untuk digambarkan ketika ini dan terlalu pahit untuk di telan namun semua perkara itu sudah dibuang jauh sejurus selepas menaiki kapal terbang untuk pulang ke tanah air.

"Saya sangat sedih. Bayangkan anda lakukan yang terbaik dan berlatih bersungguh-sungguh tapi akhirnya pingat itu diambil.

"Tapi saya ambil ini sebagai pengajaran yang berguna. Saya tak akan berhenti di sini. Tahun depan masih banyak lagi pertandingan dan saya akan ke Paris untuk 2024 dan buat sekali lagi rekod dunia," katanya.

Sebelum episod malang itu Ziyad membuktikan dia atlet terbaik dunia apabila melakukan lontaran 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Namun kejayaannya tu tidak diiktiraf selepas melakukankan kesalahan teknikal dan dikategorikan sebagai DNS (tidak bermula) selepas penganjur menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki 'call room' atau bilik menunggu atlet sebelum turun beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 9:42 PM