MEGAT (kanan) bersama wakil Ukraine. FOTO Ihsan MPM
MEGAT (kanan) bersama wakil Ukraine. FOTO Ihsan MPM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan wakil dari Ukraine bagi mengemukakan permohonan maaf mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Menerusi satu kenyataan media, Megat mengadakan pertemuan bersama CDM Ukraine Olena Zaitseva berkaitan insiden kecaman terhadap atlet mereka Maksym Koval yang diisytiharkan pemenang pingat emas bagi acara lontar peluru F20.

Megat berkata, beliau turut menjelaskan reaksi negatif daripada rakyat negara itu berpunca daripada kekecewaan terhadap keputusan tidak menyebelahi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, selain fanatik dalam menyatakan sokongan padu terhadap wakil yang bertanding di bawah semangat Jalur Gemilang.

"Selaku ketua kontinjen Malaysia, saya mengakui bahawa saya turut terkilan apabila mendapat keputusan bahawa penyertaan Ziyad dibatalkan kerana kesilapan teknikal.

"Saya percaya insiden ini memberi pengajaran bukan saja kepada saya, bahkan kepada seluruh penggiat sukan bahawasanya masa itu adalah emas, dan masa juga boleh menyebabkan kita kehilangan pingat emas yang sangat berharga," katanya.

Selain itu, Megat turut berjanji untuk mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Ukraine.

"Olena turut memberi jaminan bahawa akan menyampaikan mesej permohonan maaf daripada kita buat seluruh rakyat Ukraine.

"Beliau mengakui kerajaan Ukraine turut kesal dengan insiden yang terjadi. Saya berharap dengan tindakan ini dapat meredakan keadaan demi menjaga nama baik Malaysia," katanya.

Terdahulu, Ziyad membuktikan dia atlet terbaik dunia apabila melakukan lontaran 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Balingan Ziyad itu hadir pada percubaan ketiga di Stadium Olimpik itu.

Bagaimanapun malang menimpanya apabila kemenangannya menerusi acara itu tidak diiktiraf selepas dia bersama dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki 'call room' atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.

Situasi berkenaan menyebabkan netizen Malaysia 'melenting' seterusnya menyerang laman sosial atlet dan kontinjen Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:41 PM