ZVEREV menjulang trofi selepas memenangi saingan Cincinnati. FOTO AFP
ZVEREV menjulang trofi selepas memenangi saingan Cincinnati. FOTO AFP
AFP

Cincinnati: Alexander Zverev yang baru memenangi emas Olimpik merangkul gelaran kelima ATP Masters 1000 selepas menewaskan Andrey Rublev 6-2, 6-3 di saingan Cincinnati, hari ini.

Sensasi Jerman itu memerlukan kurang sejam menewaskan rakan lamanya sejak zaman kanak-kanak itu untuk menjulang trofi sekali gus berada di kedudukan terbaik menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula Isnin depan.

"Terbuka AS akan bermula seminggu lagi, jadi saya mahu kekalkan prestasi dan beraksi pada tahap terbaik di sana," kata Zverev.

Zverev tidak menunjukkan sebarang rasa kurang selesa selepas mengalami sakit perut yang memaksanya memerlukan bantuan perubatan ketika aksi separuh akhir menewaskan Stefanos Tsitsipas.

Pemain nombor satu dunia wanita, Ashleigh Barty turut mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi gelaran kelima musim ini dengan menewaskan wakil Switzerland, Jil Teichmann 6-3, 6-1.

Pemain Australia itu yang akan mengukuhkan kedudukan nombor satu dunia, menguasai perlawanan bermula pertengahan set pertama dan dilihat tidak mempamerkan prestasi permainan sebenar.

"Ia minggu yang hebat yang mana saya beraksi dengan baik pada setiap perlawanan.

"Hari ini saya membina keyakinan diri di mana ia amat penting pada perlawanan final," kata Ashleigh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:02 PM