PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tewas di suku akhir acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 di Velodrome Izu, hari ini. FOTO Bernama
PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tewas di suku akhir acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 di Velodrome Izu, hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Takdirnya belum rezeki saya kali ini. Maafkan saya Malaysia." Demikian luahan pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang tidak mampu membawa pulang pingat pada penampilan pertamanya di Olimpik Tokyo 2020.

Menerusi hantaran di Facebook, Shah Firdaus mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana tidak jemu menitipkan doa dan sokongan kepada dirinya serta seniornya, Datuk Azizulhasni Awang.

"Tamat tugas di Tokyo. Bukan persembahan terbaik seperti diharapkan. Saya rasa cukup bersedia pada hari pertama keirin, secara fizikal dan mental.

"Namun, dalam perlumbaan ada perkara kita tidak boleh kawal, walau sekuat mana kita berusaha. Kalah menang adat bertanding.

"Tiada siapa datang ke pentas sukan sebesar ini untuk kalah atau sekadar jadi 'average' (sederhana), begitu juga saya.

"Sudah lebih dari lima tahun persiapan dilakukan hanya untuk berada di sini, di Olimpik. Jangan ditanya soal pengorbanan, anda tahu jawapannya.

"Sedaya usaha saya lakukan untuk cuba menghasilkan sesuatu buat negara yang tercinta. Bagaimanapun, takdirnya, belum rezeki saya kali ini. Maafkan saya Malaysia," katanya.

Di sebalik semua itu, Shah Firdaus sedar keyakinannya tidak tercalar dan mahu peluang serta masa diberikan kepadanya untuk menimba lebih banyak pengalaman.

"Terima kasih untuk sistem sokongan kem basikal trek Malaysia. Tanpa anda, saya tiada di sini. Terima kasih buat keluarga tersayang.

"Kepada semua atlet bertanding tahniah dan syabas untuk semangat kesukanan tinggi dan persaingan hebat.

"Untuk idola Malaya, tahniah Azizulhasni Awang, anda adalah anugerah dan inspirasi buat Malaysia," katanya.

Perjuangan Shah Firdaus berakhir di saringan kedua suku akhir acara keirin di Velodrom Izu, hari ini apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, sekali gus tidak layak ke separuh akhir.

Semalam, dia cedera selepas terjatuh ketika saringan kedua sebelum bangkit mempamerkan kayuhan bertenaga ketika berlumba dalam kesakitan pada perlumbaan repecharge dan menduduki tempat kedua untuk layak ke suku akhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:05 PM