PELUMBA Britain, Jack Carlin (kanan) memecut laju ketika pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri) terjatuh dalam saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu di Olimpik Tokyo 2020, hari ini. FOTO Bernama
PELUMBA Britain, Jack Carlin (kanan) memecut laju ketika pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri) terjatuh dalam saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu di Olimpik Tokyo 2020, hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Saya tiada niat cederakan sesiapa dan kemalangan adalah perkara biasa dalam acara keirin."

Itu penjelasan pelumba Great Britain, Jack Carlin mengenai kemalangan membabitkan pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terjatuh pada sarimgan kedua kelayakan acara keirin di Velodrom Izu di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Carlin berkata, kemalangan adalah perkara biasa dalam acara itu, malah dia hampir terjatuh ketika mengharungi saringan kelayakan itu.

Sambil menafikan dia menjadi punca Shah Firdaus terjatuh, Carlin mengharapkan pelumba negara itu bangkit dan boleh meneruskan perlumbaan di suku akhir, esok.

"Keirin adalah perlumbaan bahaya, saya menghormati semua pelumba dan pada masa sama semua pelumba mahu melakukan yang terbaik. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan kemalangan.

"Ini adalah sebahagian daripada perlumbaan dengan masing-masing mahu memecut. Saya mengharapkan dia tidak berhadapan masalah dan melihatnya melepasi ke pusingan seterusnya.

"Saya tiada masalah dengan dia, malah mempunyai hubungan baik bersama pelumba Malaysia," katanya.

Terdahulu, Carlin menjadi 'mangsa' netizen Malaysia yang menyangka Carlin menjadi punca Shah Firdaus terjatuh menyebabkan mereka menyerang Facebook (FB) dan Instagram (IG) pelumba terbabit.

Walaupun cedera Shah Firdaus mengiringi Datuk Azizulhasni Awang mara ke suku akhir acara keirin selepas menduduki tempat kedua saingan repecharge.

Shah Firdaus yang cedera bahu kemudian dikejarkan ke hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:51 PM