PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan boleh berlumba di suku akhir acara keirin, esok, selepas pemeriksaan di hospital mendapati dia tidak cedera. FOTO Bernama
PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan boleh berlumba di suku akhir acara keirin, esok, selepas pemeriksaan di hospital mendapati dia tidak cedera. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persoalan sama ada pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi di suku akhir acara keirin di temasya Olimpik Tokyo 2020, esok, akhirnya terjawab.

Shah Firdaus dalam satu hantaran di laman sosialnya memaklumkan dia akan memberikan aksi terbaik, esok dan mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kecederaannya itu cepat sembuh.

"Hii semua. Alhamdulillah. Saya dalam keadaan baik. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua.

"Ujian imbasan dan CT scan menunjukkan saya OK dan boleh berlumba esok.

"Doakan saya cepat pulih dan saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Dalam hantaran itu, Shah Firdaus memohon kerjasama semua penyokongnya untuk tidak menyalahkan mana-mana pelumba yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku.

"Saya mohon tolong jangan buat sebarang penilaian kepada mana-mana pelumba. Kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa saja terutama dalam acara keirin.

"Tapi tiada sesiapapun mahu menyebabkan kemalangan itu dengan sengaja dan ia adalah sebahagian daripada perlumbaan. Semua yang datang bertanding mahukan kemenangan," katanya.

Shah Firdaus, 25, yang membuat penampilan sulung di temasya Olimpik, terjatuh selepas dihimpit pelumba Britain, Jack Carlin sehingga menyaksikan perlumbaan saringan kedua terpaksa dimulakan semula.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak menyertai perlumbaan semula saringan kedua itu selepas kemalangan sebelum bangkit mempamerkan kayuhan bertenaga pada perlumbaan repecharge.

Dia menamatkan perlumbaan itu di tempat kedua seterusnya melayakkan dirinya ke suku akhir, mengiringi Datuk Azizulhasni Awang yang sudah layak lebih awal.

Shah Firdaus kemudiannya dibawa ke Hospital Juntendo Universiti Shizuoka untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 9:27 PM