PELUMBA Belanda, Shanne Braspennincx memenangi pingat emas acara keirin wanita di Tokyo 2020 di Velodrome Izu, hari ini. FOTO EPA
PELUMBA Belanda, Shanne Braspennincx memenangi pingat emas acara keirin wanita di Tokyo 2020 di Velodrome Izu, hari ini. FOTO EPA
AFP

Shizuoka, Jepun: Pelumba Belanda, Shanne Braspennincx menang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 acara keirin wanita, hari ini, enam tahun selepas serangan jantung yang hampir menamatkan kariernya.

Shanne mengatasi pelumba New Zealand, Ellesse Andrews dengan kelebihan 0.061 saat pada aksi final yang mendebarkan manakala pelumba Kanada, Lauriane Genest menang gangsa.

Kemenangan itu meneruskan aksi membanggakan skuad berbasikal Belanda di Tokyo 2020 apabila mereka memenangi lapan pingat termasuk empat emas, setakat ini.

Britain turut merangkul empat emas selepas Matthew Walls menang acara omnium lelaki, tidak lama selepas kemenangan Shanne itu.

Kemenangan Shanne, 30, menandakan kebangkitan hebat selepas serangan jantung dialaminya di hospital berikutan dia tidak sihat selepas perlumbaan pada 2015.

"Saya fikir, ia penamat karier saya," kata Shanne. "Serangan jantung adalah masalah tidak normal bagi atlet yang berlumba.

"Ia mengambil masa selama enam hingga tujuh bulan untuk melihat sama ada saya boleh terus menjadi atlet dan selepas itu, bukan mudah untuk saya kembali ke prestasi asal.

"Saya mengambil masa beberapa tahun untuk kembali ke prestasi lama dan percaya kepada kemampuan tubuh badan sendiri."

Shanne berkata, dia masih mengambil pil berikutan arteri kanannya memang tertutup sepenuhnya.

"Saya masih mengambil pil, tetapi dalam perlumbaan, saya memberikan sepenuh kudrat. Jika tidak, anda tidak boleh bergelar juara Olimpik," katanya.

"Saya mendapat pertolongan hebat daripada segi perubatan, mental dan fizikal. Saya masih memilikinya dan percaya badan saya masih kuat dan ia menjadi kelebihan buat masa ini."

Shanne menang perak acara keirin di Kejuaraan Dunia pada 2015, tetapi dia bukan pelumba pilihan di Tokyo 2020 bagi acara paling sukar diramal itu.

Diperkenalkan di Jepun pada 1948, perlumbaan keirin membabitkan sekumpulan pelumba di belakang motosikal sebelum mereka memecut ke garisan penamat ketika perlumbaan berbaki dua pusingan.

Pelumba Jerman, Emma Hinze dianggap pilihan acara itu di Tokyo 2020, tetapi dia gagal melepasi separuh akhir apabila menduduki tempat terakhir dalam perlumbaan dimenangi Shanne.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:47 PM