Farah Ann Abdul Hadi
Farah Ann Abdul Hadi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ratu gimnastik artistik negara Farah Ann Abdul Hadi terpaksa melupakan hasrat beraksi di pusingan akhir acara individu All Around apabila sekadar meraih kedudukan ke-53 secara keseluruhan sebentar tadi.

Walaupun senyuman dan gayanya dikatakan mencuri tumpuan penyokong sukan tanah air yang menonton siaran secara langsung namun ia tidak membantu gimnastik negara itu untuk menempatkan diri dikalangan kelompok terbaik.

Selepas mengharungi empat aparatus, Farah, 27, yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik mengumpul keseluruhan 48.565 mata dalam saingan yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake itu.

Dia yang memulakan aksi dengan disiplin palang bertingkat mengutip 11.600 mata sebelum meraih 11.566 untuk aksi batang titian.

Aksi Farah dalam disiplin senaman lantai pula menyaksikan dia mengutip 12.333 manakala dia meraih mata tertinggi dalam melombol yang juga aparatus terakhirnya dengan catatan 13.166 mata.

Mengikut rekod, 24 gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke final bagi acara individu All Around yang akan berlangsung, Khamis ini.

Bagi saingan individu pula, hanya lapan gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke pusingan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 10:26 PM