Atlet gimnastik Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi
Atlet gimnastik Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet gimnastik kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi berehat daripada menyertai mana-mana kejohanan gimnastik kompetitif buat masa ini bagi memfokuskan proses pemulihan dirinya.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata, beliau merancang dan bersedia untuk pertandingan akan datang dengan tidak terlalu menekan dirinya, bagi memastikan beliau dapat kembali pada 2022 dengan lebih baik lagi.

"Saya masih belum pulih sepenuhnya daripada Olimpik Tokyo yang amat sukar, dan saya merancang untuk bermula latihan dengan perlahan-lahan di Majlis Sukan Negara tahun hadapan," katanya.

Farah Ann, yang buat pertama kalinya melakukan penampilan di Sukan Olimpik, gagal layak ke peringkat akhir acara all-round selepas menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta, dengan mengutip 48.565 mata keseluruhan pada acara berlangsung di Ariake Gymnastics Centre, Tokyo pada 25 Julai.

Beliau mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat, palang imbangan (11.566 mata), disiplin senam lantai (12.233 mata) dan melombol (13.166 mata).

Atlet kelahiran Selangor juga menyatakan keadaan pandemik yang berlarutan juga menjadi sebab untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan sehingga akhir tahun ini.

Namun pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu berkata beliau masih belum pasti mengenai kejohanan mana yang perlu sertai tahun hadapan.

"Saya tidak pasti sama ada saya akan bertanding di Sukan Sea atau tidak. Tetapi saya percaya Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang berkemungkinan berlangsung pada akhir tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:23 PM