BEBERAPA acara sudah bermula di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
BEBERAPA acara sudah bermula di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Kebimbangan semakin meningkat terhadap penularan Covid-19 ketika berlangsungnya Sukan Olimpik dengan Jepun menyaksikan peningkatan 20 peratus kes sejak minggu lalu.

Jepun merekodkan 4,203 kes baharu Jumaat lalu, peningkatan 785 kes berbanding hari sama minggu terdahulu yang menyaksikan 3,419 kes dilaporkan, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kesejahteraan Jepun.

Jangkitan juga meningkat di Tokyo dengan purata kadar positif ujian harian selama tujuh hari melonjak 42 peratus, demikian data diperolehi daripada ibu kota itu.

Merujuk kepada angka berkenaan, pihak berkuasa memberi amaran sistem kesihatan boleh berdepan krisis sekali gus mendesak supaya difikirkan satu perancangan drastik yang mantap ketika penyebaran varian Delta semakin membimbangkan.

Hanya 23 peratus populasi rakyat Jepun sudah mendapat suntikan vaksin sepenuhnya.

Sementara itu di Britain, 59.5 peratus orang dewasa sudah menerima dua suntikan vaksin, menurut data Kerajaan UK sehingga 22 Julai.

Pakar berasa bimbang temasya yang bermula kelmarin di Tokyo itu akan mempercepatkan peningkatan jumlah kes yang sudah meningkat di ibu kota itu dan di seluruh Jepun.

Dalam satu kenyataan, Kerajaan Metropolitan Tokyo berkata: "Peningkatan kes memungkinkan sistem kesihatan akan menghadapi krisis."

"Perancangan dan sistem yang teratur perlu dilakukan jika kes semakin meningkat ketika penyebaran varian Delta juga semakin meningkat."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:13 AM