LOA Dika Toua dari Papua New Guinea menamatkan acara angkat berat wanita kategori 49kg - Snatch di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
LOA Dika Toua dari Papua New Guinea menamatkan acara angkat berat wanita kategori 49kg - Snatch di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Peserta Papua New Guinea, Loa Dika Toua mencipta sejarah sebagai wanita pertama bertanding dalam acara angkat berat di lima temasya Olimpik, beberapa jam selepas membawa bendera negaranya di upacara pembukaan Tokyo 2020.

Pada usia 37 tahun, atlet itu bertanding selama 21 tahun selepas muncul wanita pertama mengangkat berat di Sukan Olimpik apabila acara angkat berat wanita kali pertama diperkenalkan di Sydney 2000.

Juara benua 12 kali dan ibu kepada dua anak yang menjadi hero di negaranya, melakar senyuman selepas berjaya mengangkat beban 69 kilogram (kg) dalam acara snatch, sebelum membuat lambang hati dengan tangannya.

"Perasaan ketika ini sangat luar biasa," katanya selepas menduduki tempat keempat Kumpulan B bagi kategori 49kg, dengan jumlah angkatan 167kg.

"Impian anda adalah bertanding di satu atau dua Olimpik. Saya tidak pernah bayangkan dapat bertanding di lima temasya Olimpik."

Toua dianggap bersara daripada sukan itu apabila menghidap penyakit tibi serius dan hampir meninggal dunia pada 2013, tetapi membuat kebangkitan semula mengagumkan dengan memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Tokyo 2020 mungkin menjadi penyertaan keenamnya di Sukan Olimpik, tetapi dia tidak bertanding di Rio 2016 untuk meluangkan lebih masa bersama dua anaknya.

Pada masa sama, dia mahu memberi peluang kepada adiknya, Thelma bertanding di Sukan Olimpik, tetapi impian itu musnah apabila Papua New Guinea tidak menghantar pasukan.

Dia tidak menolak kemungkinan bertanding di Sukan Olimpik buat kali keenam di Paris 2024, iaitu tiga tahun lagi dan pada ketika itu usianya mencecah 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:35 PM