KONTINJEN Malaysia berarak masuk dalam upacara perasmian Sukan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik di Tokyo malam tadi. FOTO AFP
KONTINJEN Malaysia berarak masuk dalam upacara perasmian Sukan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik di Tokyo malam tadi. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ternyata bangga melihat kontinjen negara berarak masuk dalam upacara perasmian Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

Reezal Merican ternyata tidak sabar dan bangga selepas sekian lama menanti akhirnya kontinjen negara berarak masuk iaitu negara yang ke-177 berjalan dengan megah serta penuh bersemangat di Stadium Olimpik, Tokyo.

"Kontinjen Malaysia!! Bangga melihat Jalur Gemilang berkibaran bersama atlet-atlet kita," katanya di akaun Twitter.

Kontinjen Malaysia diketuai dengan pembawa Jalur Gemilang, iaitu dua jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan syabas kepada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Mereka bertungkus lumus mereka bentuk persalinan barisan Kontinjen Malaysia. Selamat maju jaya kontinjen Malaysia.

"Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama berikan sokongan kepada Kontinjen Malaysia.

"Ini momen untuk kita mara bersama-sama dalam satu suara. Sokongan kita, azimat dan kekuatan buat mereka. Laungkan gema #DemiMalaysia." katanya.

Warna pakaian kontinjen negara itu diinspirasikan daripada warna Jalur Gemilang dan kebanyakan netizen memuji busana kontinjen negara itu pada gambar yang dimuat naik di Facebook Majlis Sukan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:02 AM